Pembayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 4 bernilai RM2.1 bilion yang akan memanfaatkan 5.2 juta rakyat Malaysia, bakal dikreditkan ke akaun mereka secara berperingkat selama tiga hari bermula 15 Nov ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Asalnya Pembayaran Disember
Beliau berkata bayaran itu pada asalnya dijadualkan pada bulan Disember, namun dipercepatkan kepada minggu hadapan bagi membantu penerimanya membuat persediaan menghadapi monsun timur laut (MTL), yang diramalkan akan bermula pada pertengahan bulan ini.
Bayaran Sehingga RM900
“Bagi BKM Fasa 4, setiap penerima akan menerima sehingga RM900 mengikut kategori kelayakan masing-masing, dan pembayaran ini adalah bayaran terakhir tahu ini.
“Mereka yang akan menerima bayaran ini terdiri daripada penerima sedia ada bagi kategori isi rumah dan warga emas bujang atau yang tiada pasangan,” katanya pada sidang media selepas Program Ramah Mesra di Kampung Batu Bor di sini hari ini.
Cara Semakan BKM Fasa 4 Disember 2022
Sehubungan itu, Ismail Sabri berkata mereka yang layak menerima bantuan tersebut boleh menyemak status pembayaran bermula 15 Nov ini, selain boleh merujuk portal rasmi BKM di https://bkm.hasil.gov.my untuk maklumat lanjut pembayaran.
BKM merupakan inisiatif bantuan kewangan langsung yang telah diumumkan dalam Bajet 2022 bagi meringankan beban mereka yang memerlukan untuk bangun semula pasca pandemik COVID-19 dan meringankan beban kos sara hidup rakyat Malaysia.
Secara keseluruhan, RM8 bilion telah digunakan untuk BKM yang memanfaatkan 8.7 juta penerima bagi tahun 2022.



